(PROTES... Sebahagian ahli Gabungan Graduan Melayu Muda mengadakan demonstrasi selepas saman difailkan terhadap Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan kerajaan negeri berhubung isu papan tanda pelbagai bahasa di Georgetown, semalam) PULAU PINANG 4 Nov. – Ahli Exco Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Nik Rizman Sapian hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung tindakannya meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memasang papan tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan di Georgetown.
Nik Rizman yang juga seorang akauntan memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Sahrihan & Hamdan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. Beliau yang bertindak sebagai plaintif menamakan MPPP sebagai defendan pertama manakala kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai defendan kedua.
Nik Rizman menuntut deklarasi mahkamah bahawa tindakan defendan kedua meluluskan permohonan defendan pertama untuk memasang tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan Georgetown adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga menuntut injunksi bagi menghalang defendan pertama atau wakilnya daripada memasang papan tanda tersebut.
Mengikut pernyataan tuntutan, Nik Rizman mendakwa sebagai seorang warganegara, beliau bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan setiap peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Dakwa plaintif, selepas membaca laporan akhbar, laman web dan blok mengenai perkara itu, beliau merasa amat terganggu dan tersinggung dengan permohonan yang dibuat oleh defendan pertama dan dengan keputusan yang dibuat oleh defendan kedua.
Kata plaintif, keputusan tersebut adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Plaintif pada 30 Oktober lalu telah menghantar notis tuntutan kepada defendan-defendan berkenaan menuntut agar membatalkan keputusan untuk memasang papan tanda tersebut. Bagaimanapun, defendan-defendan didakwa telah mengabaikan tuntutan yang dibuat itu. Sehubungan itu, plaintif menuntut supaya injunksi bagi menghalang defendan pertama atau wakilnya daripada memasang papan tanda berkenaan, selain kos dan lain-lain relif yang sesuai oleh mahkamah. Sementara itu, Pengerusi GGMM, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, gabungan yang terdiri daripada golongan profesional itu memfailkan saman kerana kerajaan Pulau Pinang seolah-olah tidak menghormati bahasa Melayu.
‘‘Selepas mengkaji dari semua aspek, kami mendapati peluang adalah sama rata. Justeru, tidak ada salahnya mencuba kerana ia lebih baik daripada hanya melaung-laungkan perasaan tidak puas hati tetapi tidak berbuat apa-apa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, tindakan mereka itu untuk menunjukkan bahawa perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan terutama membabitkan kaum Melayu tidak boleh sesekali dicabar. Katanya, gabungan itu melambangkan bahawa golongan Melayu muda tidak akan berdiam diri dan akan mencabar sesiapa saja di mahkamah.
‘‘Inilah generasi Melayu baru yang akan mempertahankan hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Jadi, jangan sesekali mencabar kaum Melayu dan perlembagaan,” katanya.
Seramai 200 ahli GGMM dari beberapa negeri termasuk Johor, Perak dan Selangor berkumpul di Padang Kota Lama, sebelum berarak kira-kira 200 meter ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
SHAHBOY
Exco Hubungan Luar Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)