
ShAhBoY
KUALA LUMPUR 18 Ogos — Seorang pelajar yang gagal mendapat Biasiswa Khazanah-Cambridge menfailkan saman terhadap Khazanah Nasional Berhad dan tiga lagi.
Chan Xian Yao, 19, memfailkan saman itu melalui firma guaman bapanya Chan Chow Wang di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini.
Beliau menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar; pengarahnya, Azman Mohd Hussein; Khazanah; dan Yayasan Khazanah sebagai defendan.
Dalam saman itu Xian Yao memohon perisytiharan bahawa pemberian Biasiswa Khazanah-Cambridge kepada tiga penerima adalah tidak sah.
Dia juga memohon pampasan dan ganti rugi kerana mengalami perasaan malu dan tekanan akibat gagal mendapat biasiswa itu.
Xian Yao, yang ditawarkan tempat di Universiti Cambridge selama empat tahun bagi mengikuti kursus kejuruteraan kimia bermula Oktober tahun ini, mendakwa defendan tidak menjalankan proses pemilihan yang baik atau adil semasa peringkat pemilihan.
Pelajar itu berkata, Yayasan Khazanah telah menghantar satu emel kepadanya menyatakan dia tidak berjaya dalam permohonannya tanpa sebarang alasan.
Katanya, defendan dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Jun lepas telah menyatakan hanya tiga pemohon telah diberi biasiswa itu tanpa memberi maklumat pemohon itu seperti nama, kursus atau keputusan akademik mereka. — Bernama
ShAhBoY